Thursday, November 11, 2010

Cita-cita saya...

Masih ingat lagikah kenangan di zaman sekolah dahulu, apabila ada guru baru yang memulakan sesi pengajarannya di kelas kita. Pertama kali memasuki kelas, sudah tentunya guru tersebut akan memulakannya dengan sesi perkenalan (ta’aruf) dengan ahli kelas. Masing-masing teruja. Antara soalan WAJIB jawab yang dikemukakan untuk memperkenalkan diri kita ialah apakah cita-cita kamu?


Saya sendiri pun, apabila pertama kali memulakan sesi pengajaran bagi sesebuah kelas, pasti saya akan selitkan soalan ini sebagai salah satu soalan yang mesti dijawab oleh murid.


“ Saya nak jadi DOKTOR!”


“Cita-cita saya nak jadi PILOT!”


“Ambe nok jadi CIKGU!”


Tujuannya adalah bagi mempermudahkan guru mengenali tahap motivasi dan kecenderungan setiap murid-murid. Manusia itu UNIK, dan KEUNIKANnya itu ada pada LATAR BELAKANG mereka. Di akhir sesi perkenalan itu, sang guru akan merangsang murid supaya belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita mereka.


Namun, pernahkan anda mendengar dari bicara lidah sesiapa pun, cita-citanya adalah untuk MATI?


Sebaik-baik Kurun


Naik hairan kita dibuatnya bukan?


Hal ini akan bertambah pelik apabila orang-orang yang bercita-cita serupa itu dilabel sebagai sebaik-baik manusia oleh Nabi s.a.w!


Sabda Rasulullah s.a.w:


Sebaik-baik kalian adalah pada kurun aku, kemudian pada kurun yang mengikutinya, kemudian pada kurun yang mengikutinya.


( Riwayat Al Bukhari, Muslim dan Ahmad)


Ya…mereka adalah golongan yang mendapat Tarbiyyah secara langsung dari Nabi s.a.w. Melalui Qudwah dari jasad Rasul yang mulia. Merekalah para sahabat Nabi…


Marilah kita imbas kembali…


Di dalam peperangan Muktah, yang menemukan pasukan tentera Islam bertempur dengan pasukan tentera Rom. Berlaku kesangsian di hati kalangan para sahabat ketika itu kerana melihatkan kuantiti pasukan tentera Islam (3000 orang) yang sedikit berbanding tentera Rom (200 000 orang). Lalu berteriaklah Abdullah Bin Rawahah membangkitkan semula semangat juang Mujahid! Katanya…


“Wahai para sahabatku, apakah yang membimbangkan kamu semua? Apakah tujuan sebenar kamu semua datang kesini? Bukankah kamu semua datang kesini untuk mati syahid. Pejuang-pejuang Islam tidak pernah memperjuangkan tenaga kita dengan kekuatan senjata dan kekuatan bilangan tentera. Perjuangan kita adalah semata-mata kerana Islam yang telah dimuliakan oleh Allah SWT ke atas setiap kita pejuang-pejuang agamaNya.


Kita hendaklah mempastikan salah satu antara dua: Kemenangan atau Syahid.”


Lalu bertempurlah mereka untuk mencari Keredhaan Allah s.w.t, apabila Ja’far Bin Abi Talib telah gugur syahid bersama 90 liang luka di badan beliau. Ketika itu, Abdullah bin Rawahah sedang makan daging di penjuru medan peperangan. Beliau sudah tiga hari kelaparan. Sebaik sahaja beliau mendengar berita tentang kematian Jaafar. Dengan segera beliau mencampakkan daging seraya berkata.

“Abdullah kamu ini asyik sibuk dengan makan, sedangkan Jaafar telah sampai ke syurga.”


Tanpa membuang masa Abdullah bin Rawahah terus mencapai bendera dan meluru ke arah musuh. Dalam pertempuran anak-anak jarinya banyak yang parah dan hampir-hampir putus. Beliau meletakkan anak-anak jarinya ke bawah lalu dipijak dengan kaki dan ditarik sehingga jari-jarinya bercerai dari tangannya.


Kata Abdullah bin Rawahah tatkala rasa sangsi datang menyinggah, memikirkan jumlah tentara Muslimin yang semakin berkurangan..


“Wahai hati, apa yang menyebabkan kamu memikirkan demikian?” Adakah kerana cinta kepada isteriku? Kalau begitu aku ceraikan kamu pada saat ini juga. Adakah kerana hamba-hamba? Kalau begitu aku bebaskan mereka semua. Adakah kerana kebun? Kalau begitu aku berikan sebagai sedekah.”


Oleh kerana keletihan dan kelaparan, beliau turun dari kudanya, sementara sepupunya datang membawa sekeping daging kepadanya dengan berkata: “Kamu tidak tidur dan makan selama tiga hari.” Apabila Abdullah hendak mengambil daging tersebut, beliau mendengar laungan musuh di salah satu sudut medan pertempuran, beliau melemparkan daging tersebut. Dengan pedang yang terhunus beliau meluru ke arah musuh dan berjuang sehingga beliau syahid di medan pertempuran itu.


Di dalam peperangan Uhud, sewaktu berlaku kecelaruan dalam jentera pasukan Islam. Rasullah s.a.w menghadapi serangan demi serangan kaum Musyrikin yang cuba membunuh Nabi s.a.w.


Demi melindungi baginda, para sahabat telah membentuk sebuah perisai manusia yang berdindingkan tubuh-tubuh mereka. Mengelilingi tubuh baginda dari sebarang ancaman. Bercacaklah di badan-badan mereka puluhan tombak dan anak panah, adakah mereka lari meninggalkan baginda? Tidak! Sebaliknya, kecintaan kepada syahid memberikan kekuatan yang utuh biarpun tombak dan panah menjamah tubuh mereka. Sehingga Abu Talhah berkata:-


“ Wahai Rasulullah, andai ada pedang yang cuba memancungmu, aku tidak akan biarkan! Melainkan pedang itu memancung leherku dahulu! ”


Galang ganti kepada leher Rasulullah s.a.w adalah leher Abu Talhah sendiri!


Aku Mahu Mati Syahid


Sabda Rasulullah s.a.w:


"Barang siapa yang bercita-cita mati syahid kerana Allah s.w.t,nescaya akan diletakkan oleh Allah s.w.t kedudukannya di tempat para syuhada sekalipun dia mati di atas tempat tidurnya."


(Muslim,Abu Daud,Tarmizi Nasai, dan Ibnu Majah)


Siapakah yang tidak mahu menggapai nikmatnya hidup?


Siapakah yang boleh menafikan sebarang bentuk kecintaannya kepada hidup?


Siapakah yang sanggup untuk meninggalkan rayuan ibu bapa, isteri dan anak-anak semata-mata memenuhi seruan ilahi dengan syahid?


Ketahuilah sahabat seperjuangan ku, andai kalian MENGELUH hari ini kerana banyak tenaga, masa dan wang dihabiskan semata-mata untuk melaksanakan sebuah program dakwah…


Mereka di Palestin, Afghanistan, Chechnya, Mindanao MENGERANG kesakitan kerana luka parah akibat ditembak dan dipukul.


Ketahulah wahai para daie, andai kalian merasa berat hati untuk berpergian 3 ke 4 hari kerana tuntutan dakwah, dibelenggu bebanan halangan peperiksaan dan keluarga…


Bayangkan bagaimana rasanya berat hati para MUJAHID untuk pergi meninggalkan ayahanda dan bonda, isteri dan anak-anak. Entahkan pulang atau tidak…


Tersemat kemas di hati mereka, biar setebal manapun cinta mereka pada keluarga, sanak dan saudara…Tebal lagi cinta mereka pada SYAHID! Biarlah…meskipun yang diterima hanya sekujur jenazah, namun jenazah itu hasil gugur di medan jihad!


AllahuAkbar! AllahuAkbar! AllahuAkbar!


Untuk Umi, Along, Ika, Iyah, bakal Isteriku, bakal anak-anakku…


Ingatkan daku, tatkala pincang di jalan dakwah ini…


Ingatkan daku, saat lesu di arena jihad penuh cabaran ini…


Ingatkan daku, tatkala takut membelenggu diri di ancam dan diugut dari musuh Allah s.w.t…


BAHAWA AKU BERCITA-CITA untuk SYAHID!


Pernah suatu ketika, sebelum pulang ke Terengganu, saya mencium tangan dan dahi Umi, memeluknya erat-erat, lalu berkata:-


“Umi…you are always be the second in my heart..”


Umi seakan-akan terkejut dengan kenyataan saya. Sambil tersenyum, saya berkata:-


“Sebab Allah s.w.t dan RasulNYA sentiasa di tempat PERTAMA!


Ya Allah…aku bermohon padaMU agar perkataanku itu benar-benar dimakbulkan, tatkala badai tribulasi datang bertandang…menjengah bagi menguji keimananku.



Persaksikanlah ya Allah s.w.t bahawa aku BERCITA – CITA untuk SYAHID!


“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mu’min, diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” ( At-Taubah 111 )

No comments:

Post a Comment